TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Barangkali pepatah itu adalah gambaran tepat kepada aktres meningkat naik Chloe Grace Moretz.
Disebabkan bakat dan minatnya dalam lakonan, Moretz diterima masuk ke Professional Performing Arts School di New York selepas berpindah dari Cartersville, Georgia pada 2002.
Lebih menggembirakan lagi, minatnya itu disokong penuh oleh ahli keluarganya terutama ibunya, Terri dan abangnya, Trevor sehingga sanggup membawa Moretz menghadiri pelbagai uji bakat sekali gus melatih keupayaannya. Malah, Trevor juga menjadi jurulatih lakonannya.
Bintang kelahiran Atlanta, Georgia ini mulai aktif berlakon pada 2004 ketika usianya baharu saja mencecah tujuh tahun. Penampilan pertamanya adalah di siri TV, The Guardian (2001) menerusi watak Violet manakala filem pertamanya adalah Heart of the Beholder (2005) melalui watak Molly.
Bagaimanapun, nama aktres ini mulai terkenal setelah memegang watak Chelsea ‘Missy’ Lutz menerusi filem The Amityville Horror (2005) dan sejak itu kelibat pelakon berusia 18 tahun ini semakin banyak menghiasi layar perak.
Antara filem lakonannya adalah seperti Big Momma’s House 2 (2006), Hallowed Ground (2007), The Poker House (2008), Bolt (2008), (500) Days of Summer (2009),
Jack and the Beanstalk (2010), Kick-Ass (2010), Let Me In (2010), Scary Girl (2011), Dark Shadows (2012), Kick-Ass 2 (2013), Carrie (2013), Girl Rising (2013), If I Stay (2014) dan The Equalizer (2014).
Ketika berlakon filem Kick-Ass (2010), Moretz sanggup berlatih dengan beberapa ahli lagak ngeri selama tiga bulan demi memenuhi tuntutan wataknya sebagai Hit-Girl. Lebih membanggakan lagi, dia juga melakukan hampir semua adegan aksi tanpa bantuan pelagak ngeri termasuklah aksi bermain senjata.
Namun, Moretz tampil berbeza menerusi filem adaptasi novel terkenal, If I Stay yang mana Moretz perlu kelihatan sebagai wanita dewasa, jauh dari usianya kini.
Menerusi laporan AceShowbiz, terdapat dokumen hukum yang menyatakan pihak produser filem sempat meminta izin kepada undang-undang ketika menawarkan Moretz dengan watak sedemikian.
“Khabarnya, secara pokok, Moretz dibayar USD500,000 tetapi dia ada hak memiliki keuntungan lebih dari filemnya, iaitu 15 persen. Sehingga, ada jaminan dia akan menerima pendapatan tambahan sehingga USD1juta walaupun filemnya tidak mampu mencapai taraf box-office.
“Malah, pihak produser juga berjanji akan memberinya bonus tambahan USD25,000 jika dia berjaya meraih pencalonan Oscar dan USD25,000 jika Moretz memenanginya,” kata sumber.
Bahkan, ada cakap-cakap yang menyatakan ini adalah peluang besar buat Gometz sekali gus membuktikan keupayaannya sebagai bintang filem remaja.
Sebelum ini, Moretz pernah dipertimbangkan untuk memegang watak Katniss menerusi filem The Hunger Games (2012), yang kemudian dibawakan oleh aktres berbakat, Jennifer Lawrence.
Sehingga ke hari ini, Moretz berlakon dalam 38 filem dan sepanjang kariernya, aktres ini pernah memenangi 15 anugerah termasuk pelakon muda bawah 25 tahun terbaik dalam Anugerah People’s Choice ke-38.
Justeru, tidak salah sekiranya dia dilabelkan sebagai 25 Remaja Paling Berpengaruh 2014 versi majalah Time.
Senang dengan keluarga Beckham?
Ekoran kerap dilihat menghabiskan waktu bersama, ramai mengandaikan aktres remaja ini sedang hangat menjalinkan hubungan cinta dengan anak sulung pasangan selebriti terkemuka David dan Victoria Beckham, Brooklyn Beckham,
Malah, pasangan ini sempat meluang masa bersama apabila menghadiri konsert LA’s Budweiser Made in America Music Festival di Los Angeles, baru-baru ini.
Menguatkan lagi fakta itu, Brooklyn yang baharu saja membuka akaun Twitternya, @brooklyn77B juga menjadi pengikut terawal Moretz di laman sosial itu, pada Disember lalu.
Ketika dijemput menjadi tetamu dalam program Watch Watch Happens Live kelolaan Andy Cohen, Moretz dihujani pelbagai soalan daripada pemanggil yang menontonnya secara langsung.
Menyifatkan soalan pemanggil perempuan yang ingin mengetahui status dirinya dan anak pasangan Beckham itu sebagai soalan nakal, Moretz ternyata kelu seketika sebelum mengalihkan tumpuan dengan jawapan selamat.
“Dia (Brooklyn) adalah seorang yang baik dan menyenangkan. Saya suka menghabiskan waktu bersamanya,” jawabnya ringkas.
Terus diasak dengan soalan berkaitan, Moretz bagaimanapun bagaikan memberi gambaran bahawa ada sesuatu di sebalik keakraban mereka.
Namun, buat masa ini, mereka belum bersedia untuk bercakap mengenainya.
Malah, Andy Cohen turut mengambil peluang bertanyakan tentang penerimaan pasangan Beckham yang merupakan antara individu yang sangat berpengaruh dan terkenal di seluruh dunia.
“Sebagai sebuah keluarga, saya kagum dengan mereka. Kehebatan Victoria menerusi cara kerja serta etikanya boleh dijadikan inspirasi.
“Jujur sekali saya suka dengan label fesyen miliknya,” jawabnya lagi yang turut mendedahkan bahawa pernah menghabiskan masa bersama pasangan Beckham tersebut.
Sisi gelap Moretz
Sejak filem Gone Girl menjadi perhatian umum, novel karya Gillian Flynn’s mula menjadi pilihan penerbit untuk diadaptasi ke layar perak.
Kini, novel kedua Flynn’s, Dark Places terus diangkat menjadi filem dan bakal menjengah pawagam di negara ini mulai 25 Jun ini.
Filem arahan Gilles Paquet-Brenner ini meletakkan kepercayaan kepada bintang terkenal, Charlize Theron. Selain Theron, filem ini turut dibintangi Moretz, Nicholas Hoult, Christina Hendricks, Drea de Matteo dan Tye Sheridan.
Beraksi dalam genre seram dan ‘gelap’, Moretz berperanan sebagai Diondra Wertzner yang digambarkan sebagai seorang anak gadis yang bermasalah.
Dark Places mengisahkan seorang wanita, Libby Day (Charlize Theron) yang terselamat daripada pembunuhan beramai-ramai keluarganya ketika berusia tujuh tahun.
Dia telah menuduh abangnya membunuh keluarganya. Bagaimanapun, 25 tahun kemudian, satu kumpulan yang berminat menyelesaikan jenayah berat telah bertemu dengannya untuk bertanyakan apa sebenarnya berlaku ketika kejadian pembunuhan beramai-ramai tersebut.
Selain Moretz dan Theron, filem ini turut dibintangi bintang ternama lain seperti Nicholas Hoult, Charlize Theron, Christina Hendricks dan Drea de Matteo.
-Sinar Harian