KEMENANGAN bergaya Kelantan menewaskan Selangor 3-0 dalam perlawanan Kumpulan C nyata mampu menyuntik semangat dan moral pasukan untuk beraksi lebih cemerlang dalam perlawanan seterusnya.
Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail mengakui lega menyaksikan persembahan anak didiknya yang bersemangat dan ghairah memburu kemenangan.
Zahasmi juga memuji sikap profesional pemain Kelantan walaupun dihimpit dengan masalah gaji tertunggak.
“Saya gembira lihat aksi dipamerkan pemain, walaupun ada masalah tapi mereka tinggalkan di belakang dan fokus di padang.
“Disiplin dan sikap profesional pemain antara peranan penting yang menyumbang kemenangan ini. Saya harapkan momentum kemenangan itu dapat dikekalkan,” katanya.
Kelantan merobek gawang Selangor menerusi tiga gol hasil jaringan pemain importnya, Gilmar Da Silva (m-27, m-52) dan Austin Amutu (m-49).
Kemenangan itu meletakkan The Red Warriors (TRW) kedudukan teratas peringkat kumpulan.
Mengulas perlawanan itu, Zahasmi menganggap Selangor tidak bermain baik seperti mana ketika menewaskan mereka dalam perlawanan Liga Super sebelum ini.
“Pemain Kelantan menjalankan tugas dengan baik. Ini usaha pemain dan mereka berhak dengan kemenangan malam ini (kelmarin).
“Sekurang-kurangnya kemenangan ini memberi keyakinan tinggi dan motivasi buat pasukan,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, tumpuan kini harus diberikan untuk perlawanan seterusnya menentang Felda United yang mana saingan Piala Malaysia adalah sesuatu yang mencabar kerana semua pasukan sama ada berstatus negeri atau kelab akan cuba memberi terbaik.-sinar harian