KUCHING – Sarawak tidak rela kehilangan mata di depan penyokong sendiri apabila saingan Liga Super bersambung malam ini selepas lebih sebulan berehat.
Skuad Bujang Senang bakal menerima kunjungan Perak dalam perlawanan pertama pusingan kedua saingan Liga Super 2015 di Stadium Negeri di sini.
Jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata, misi pasukannya adalah tidak kehilangan mata dan memberikan aksi terbaik di tempat sendiri.
Bagaimanapun, kata Alberts, sekiranya gagal mengutip tiga mata penuh sekali pun, pasukannya perlu menamatkan perlawanan sekurang-kurangnya dengan keputusan seri untuk tidak memburukkan lagi kedudukan mereka yang kini menghuni anak tangga kesembilan liga.
“Skuad Bujang Senang harus melakukan yang terbaik dan memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk meraih tiga mata berharga, apatah lagi selepas kita berehat panjang sejak 5 Mei lalu.
“Kami amat memerlukan kemenangan, namun bukan tugas mudah kerana skuad Bos Gaurus dibarisi pemain yang serba mantap,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Negeri semalam.
Dalam pada itu, Alberts optimis tiga pemain utamanya iaitu Joseph Kalang Tie, Ronny Harun dan Patrick Gerhardt cergas untuk diturunkan menentang anak-anak buah Datuk M. Karathu.
Joseph dan Ronny mengalami kecederaan ketika mewakili Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan dan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 baru-baru ini, manakala Patrick dipanggil untuk mewakili Liberia dalam kelayakan Piala Negara-negara Afrika.
“Namun, peluang pemain pertahanan Rames Lai Ban Huat agak tipis kerana kecederaan kaki kanannya belum pulih sepenuhnya.
“Pada masa sama, saya berharap pemain dapat memberi komitmen sepenuhnya dalam perlawanan malam ini untuk memperbaiki kedudukan kami dalam carta Liga Super,” katanya.
Sarawak menduduki anak tangga kesembilan dalam carta liga selepas mengumpul 12 mata hasil tiga kemenangan dan tiga kali seri, lapan mata ditinggalkan pendahulu Pahang.
– http://www.utusan.com.my/sukan/