Quantcast
Channel: The Malaysian Times
Viewing all articles
Browse latest Browse all 16951

Rebut gelaran raja pecut Asia Tenggara

$
0
0

Putrajaya: ASEAN Cycle Fest dan OCBC Cycle Kuala Lumpur (KL) bakal menghangatkan Dataran Merdeka yang menjadi lokasi 50 pelumba terbaik untuk merebut gelaran raja pecut Asia Tenggara pada 6 hingga 8 November.

Perlumbaan yang julung kali dianjurkan itu diadakan sempena Malaysia dipilih Pengerusi Mesyuarat ASEAN 2015 yang bertujuan memupuk hubungan serantau.

Justeru, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berharap penganjuran ASEAN Cycle Fest itu tidak akan terhenti di KL dan akan diteruskan negara yang akan menjadi tuan rumah seterusnya, Laos.

Beliau yang ditemui di Majlis Pelancaran ASEAN Cycle Fest dan OCBC Cycle KL di Kementerian Luar semalam berkata, semua anggota Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) menyatakan persetujuan menyertai acara itu ketika Kongres ACA di Singapura, Jun lalu.

“Setiap negara hanya dibenarkan menyenaraikan lima pelumba terbaik untuk beraksi dalam perlumbaan sejauh 42km membabitkan lima pusingan pada kemuncak penganjuran 8 November nanti.

“Pelumba tempatan pula berpeluang untuk menyertai acara kriterium pada 7 November untuk menentukan siapakah raja pecut KL,” katanya.

Mengulas mengenai barisan pelumba negara yang akan mengalas cabaran negara, Naim berkata, perkara itu akan diserahkan kepada PKBM yang mempunyai barisan jawatankuasa pemilihan lebuh raya dengan pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura Mohd Harrif Salleh dijangka mengetuai senarai pelumba negara.

Penganjuran tiga hari itu merangkumi perlumbaan bagi merebut gelaran Raja Pecut KL yang terbuka kepada pelumba tempatan serta persembahan kebudayaan dari negara anggota dan perlumbaan Raja Pecut ASEAN.

Perlumbaan akan bermula di Dataran Merdeka sebelum melalui kawasan segi tiga emas termasuk Menara KLCC, Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB), Masjid Negara dan kembali ke Bangunan Sultan Abdul Samad.

Bagi yang berminat menyertai perlumbaan OCBC Cycle, mereka perlu mendaftarkan diri sebelum 30 September ini.

– http://www.hmetro.com.my/


Viewing all articles
Browse latest Browse all 16951

Trending Articles