Quantcast
Channel: The Malaysian Times
Viewing all articles
Browse latest Browse all 16951

‘Nasib baik saya tiada di rumah’

$
0
0

KUANTAN – “Nasib baik saya keluar awal dari rumah untuk membeli makanan itik di bandar, biasanya saya keluar lewat sedikit.” Demikian kata mangsa ribut, Mohd Talha Abdullah, 57, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Hitam di sini, kelmarin.

Dalam kejadian ribut kira-kira jam 5 petang kelmarin, bahagian dapur dan anjung rumah pesara polis itu musnah teruk akibat dihempap pokok.

Mohd Talha berkata, ketika kejadian tiada orang di rumah dan dia terkejut apabila melihat keadaan rumahnya sebaik tiba di rumah.

“Apabila sampai di rumah, saya tengok bahagian dapur sudah dihempap pokok kelapa dan semua peralatan di dapur rosak.

“Bahagian anjung yang bersebelahan dengan dapur juga turut ditimpa pokok menyebabkan semua atap rosak,” katanya pada Lawatan Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid ke rumahnya.

Mohd Talha berkata, dia bersyukur kerana tiada di rumah ketika kejadian dan menganggap insiden tersebut sebagai dugaan hari pertama puasa.

Bapa kepada dua anak itu berkata, dia tinggal sendirian di rumah kerana isterinya bekerja di Kuala Lumpur manakala dua anaknya di kolej dan asrama.

“Banyak yang perlu dibaiki tetapi saya sendiri tidak ada duit yang banyak untuk baiki semua kerosakan yang dialami.

“Mungkin hanya akan baiki secara berperingkat buat permulaan,” katanya.

Sementara itu, Mustaffar Kamal berkata, pihaknya menghulurkan bantuan segera RM1,000 kepada Mohd Talha bagi meringankan beban.

Beliau berkata, kes tersebut akan di dirujuk pada Pejabat Pembangunan Negeri untuk bantuan selanjutnya.

“Apa pun, saya berharap mangsa bersabar dengan dugaan pada bulan Ramadan dan kita akan membantunya mengikut keperluan,” katanya.

-Sinar Harian


Viewing all articles
Browse latest Browse all 16951

Trending Articles