OTTAWA, Kanada – Selepas memberi tentangan hebat dengan mengikat kedudukan 0-0 pada babak pertama, layangan kad merah yang diterima penjaga gol, Catalina Perez memaksa Colombia akur dengan kekalahan 0-2 kepada Amerika Syarikat (AS) dalam perlawanan pusingan 16 terbaik, Piala Dunia Wanita di Stadium Commonwealth, Edmonton semalam.
Kejayaan Amerika Syarikat melangkah ke suku akhir memang menepati ramalan, namun pasukan No. 2 dunia itu dipaksa berhempas pulas sebelum memperoleh jaringan menerusi Alex Morgan dan Carli Lloyd, selain dibantu oleh faktor kad merah.
Turut mara ke suku akhir adalah England, yang mara selepas menumpaskan bekas juara, Norway 2-1 di Stadium Lansdowne, Ottawa.
Dalam perlawanan di Edmonton, Perez, yang membuat penampilan sulung Piala Dunia diarah keluar padang kerana menjatuhkan Morgan, dua minit selepas babak kedua bermula.
Penjaga gol muda berusia 20 tahun itu dibawa masuk menggantikan penjaga gol utama Colombia, Sandra Sepulveda yang terlebih dulu mengutip dua kad kuning.
Perez mempamer aksi memberangsangkan dengan menyelamatkan tiga percubaan merbahaya pada babak pertama, dan tindakan pengadil melayangkan kad kuning kepadanya benar-benar ‘membunuh’ semangat Colombia.
Abby Wambach gagal menyempurnakan sepakan penalti dan terlepas peluang untuk menyamai rekod 15 gol yang dipegang penyerang Brazil, Marta.
Namun begitu, Morgan akhirnya memecah kebuntuan dengan meletakkan Amerika Syarikat di depan pada minit ke-53, sebelum Lloyd mengukuhkan kedudukan, 13 minit kemudian.
“Saya benar-benar lega. Sebagai penyerang, sudah tentu kami mahu menjaringkan gol kerana ia menjadi tugas kami untuk mencipta jaringan buat pasukan.
“Selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti, kami agak tertekan untuk memecah kebuntuan, jadi saya sangat gembira dapat membuka jaringan,” kata Morgan.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, England ketinggalan pada minit ke-54 menerusi jaringan Solveig Gulbrandsen.
Namun jaringan cantik pemain pertahanan, Lucy Bronze pada minit ke-76 memastikan kemenangan mereka selepas Steph Houghton terdahulu menyamakan kedudukan pada minit ke-61.
“Bronze beraksi cemerlang hari ini. Dia memperbaiki beberapa kelemahan pada babak pertama yang hampir memberi jaringan kepada lawan dan KB (penjaga gol, Karen Bardsley) berjaya menyelamatkan keadaan.
“Satu kebanggaan buat pasukan kerana berjaya mempamerkan karakter sebenar serta memiliki daya ketahanan yang kental untuk bangkit daripada ketinggalan satu gol.
“Kami bersedia untuk melangkah ke suku akhir dan memastikan perjalanan kami tidak terhenti di separuh jalan,” kata jurulatih England, Mark Sampson.
Amerika Syarikat, juara Piala Dunia 1991 dan 1999 bakal bertemu China di suku akhir, manakala England akan menentang tuan rumah, Kanada.– AGENSI
– http://www.utusan.com.my