JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah tertekan selepas ada pihak telah menyalahgunakan nombor plat keretanya sejak dua tahun lalu hingga menyebabkan dia mengalami pelbagai masalah.
Lim Poh Poh, 46 dari Taman Pelangi Indah berkata, akibat masalah tersebut dia menerima tiga notis saman daripada pihak berkuasa kerana kesalahan had laju walaupun dia tidak melakukan kesalahan tersebut.
Lebih menyukarkan keadaannya, ibu anak tiga itu memberitahu keretanya turut tidak dibenarkan memasuki Singapura penghujung tahun lalu apabila nombor plat berkenaan telah didaftarkan masuk ke republik berkenaan sebelum ini.
“Saya telah menggunakan kereta Mitsubishi Grandis itu sejak 10 tahun lalu, namun masalah ini timbul sejak saya mula menerima saman pertama 28 Oktober 2013 diikuti 15 November tahun yang sama dan 12 September lepas.
“Kemudian, ketika saya mahu memasuki Singapura pada 19 Disember 2014 dengan kereta ini, saya dihalang kerana secara kebetulan dua jam sebelumnya, nombor flat kereta itu telah mendapat autopass daripada pihak berkuasa negara itu dan saya pula disyaki cuba memalsukan nombor plat dan terpaksa disoal siasat,” katanya ketika membuat aduan berkenan kepada Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon di pejabatnya di Taman Maju, di sini, semalam.
Poh Poh berkata, disebabkan masalah tersebut dia terpaksa berulang-alik dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) beberapa kali dan keretanya perlu diperiksa nombor enjinnya lebih lanjut oleh pihak berkuasa tersebut.
Dia turut membuat dua laporan polis di Balai Polis Pelangi Indah tentang masalah berkenaan dan berharap masalah ini tidak berulang.
Dalam pada itu, Michael meminta individu yang menggunakan nombor plat Poh Poh tampil membuat laporan polis untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera.
-Sinar Harian