Juara Parodi, program realiti terbaru diperkenalkan di Astro Warna sejak 6 November lalu disifatkan unik kerana menggabungkan penyanyi dan pelawak dalam satu pasukan dan bertanding setiap minggu.
Fenomena video parodi yang tercetus sejak beberapa tahun lalu dan kini makin menular dalam
kalangan pengguna media sosial, mencetuskan idea kepada pengarah dan pelakon Afdlin Shauki untuk menghasilkan program realiti ini.
Menariknya program ini, peserta perlu melakar lirik kreatif secara bersahaja berlatarkan lagu asal yang ditukar genre muziknya dan dipersembahankan secara langsung menerusi tema istimewa setiap minggu.
Untuk program ini, Astro membeli hak cipta 120 lagu daripada syarikat rakaman dan dipersembahkan setiap minggu mengikut tema ditetapkan. Ia juga bagi mengelakkan timbul isu hak cipta untuk parodikan lagu itu.
Mereka juga mempunyai pasukan yang memantau dan memberi garis panduan kepada peserta untuk mengubah lirik lagu supaya tidak menyentuh sensitiviti masyarakat.
Penyanyi yang dipilih ialah Datuk Hattan, Misha Omar, Mark Adam, Tomok, Black, Sam Bunkface, Mawi, Firman, Zahid dan Waris manakala pelawak pula, Ajak & Shahrol Shiro, Shuib (Sepahtu), Rahim R2, Joey & Shuk, Zulin Aziz & Sherry, Azlee & Lan Pet Pet,Yus & Tauke Jambu dan Abam & Fad Bocey.
Ia satu cabaran besar buat peserta yang bertanding kerana perlu menukar lirik lagu untuk diparodikan mengikut tema dan kata-kata khas yang ditetapkan.
Selama 10 minggu, penyanyi dan pelawak yang bergabung dalam satu kumpulan, perlu memerah idea untuk melakar lirik lagu yang diberi.
Bersiaran setiap Jumaat, jam 10 malam, pada minggu ketujuh Jumaat nanti menyaksikan peserta diberi lagu pilihan media.
Cabarannya bukan hanya melakar lirik dan melakukan sketsa mengikut lirik, malah diminta menukar genre lagu asal mengikut genre diminta juri.
Bagaimana lagu dangdut perlu ditukar kepada hip hop atau pop kepada metal, rock kepada Irama Malaysia atau lagu rancak kepada dikir barat.
Itulah yang perlu mereka lakukan setiap minggu kerana selama 10 minggu ini tiada penyingkiran. Difahamkan, ia memberi tekanan kepada artis kerana komitmen yang diberikan bermula dari detik diberikan lagu, mereka perlu melakar lirik dan berlatih dengan pengarah muzik sebelum dipersembahkan secara langsung.
Selepas 10 minggu baru dipilih tujuh kumpulan ke peringkat separuh akhir dan lima ke peringkat akhir. Pemarkahan berdasarkan 70 peratus oleh juri profesional dan 30 peratus lagi menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS).
Pada peringkat akhir, lima kumpulan ini ber–usaha merebut gelaran juara yang menawarkan hadiah RM300,000 kerana tiada pemenang kedua dan ketiga. Setiap peserta yang berjaya ke peringkat akhir menerima RM20,000.
-Metro