Quantcast
Channel: The Malaysian Times
Viewing all articles
Browse latest Browse all 16951

10 minit tahan sakit

$
0
0

Melaka: Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan selama 10 minit apabila tersepit di tempat duduk pemandu selepas keretanya bertembung dengan sebuah kenderaan lain dalam kemalangan jalan raya di Jalan Serkam Darat, Merlimau, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang, mangsa yang berusia 30-an itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Serkam menghala ke Bemban, Jasin, sebelum kereta Toyota Corolla yang dipandunya dikatakan hilang kawalan secara tiba-tiba ketika sampai di lokasi kemalangan.

Ia menyebabkan kenderaan itu bertembung dengan sebuah Honda City yang datang dari arah yang bertentangan dan menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau Pegawai Bomba Kanan II Yahya Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada jam 5.10 petang.

Susulan maklumat yang diterima, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera dan ambulans pasukan Penyelamat dan Paramedik (EMRS), dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan penyelamat tiba di lokasi kemalangan 18 minit kemudian dan mendapati seorang lelaki tersepit di tempat duduk pemandu, kami kemudian menenangkan mangsa sebelum berjaya mengeluarkannya dari kenderaan lima minit kemudian.

“Kami difahamkan pemandu Honda City terbabit iaitu seorang wanita sudah dihantar oleh orang awam ke Hospital Jasin dan dia dilaporkan hanya cedera ringan,” katanya.

Yahya berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian bawah lutut kaki kiri kemudian diserahkan kepada petugas ambulans untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

-Metro


Viewing all articles
Browse latest Browse all 16951

Trending Articles