
NAIB juara musim lalu, UniKL Young Guns tidak mahu terlalu panik walaupun mencatatkan dua kekalahan pada saingan Liga Hoki Remaja TNB.
UniKL hanya menang dua kali menentang Olak-PKT Tigers dan SDBL-UniKL dengan jaringan 4-2 sebelum tewas masing-masing kepada Politeknik 0-1 dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Thunderbolts 1-6.
Keputusan itu menyaksikan hasrat UniKL mencabar kejuaraan pada saingan liga kali ini agak sukar dengan juara bertahan, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Thunderbolts masih mengekalkan rekod tanpa kalah.
Dengan hanya berbaki lima perlawanan, pengurus pasukan UniKL Mohd Asmadi Mohd Nor mahu anak buahnya terus fokus dalam menghadapi saingan liga.
“Saya lihat dari segi mental pemain belum bersedia dalam perlawanan terutama ketika menghadapi saat genting. Berbeza ketika dalam perlawanan persahabatan dengan prestasi pemain amat memberangsangkan. Tetapi dalam situasi permainan sebenar mereka gugup.
“Tetapi, tidak terlalu lambat untuk pemain bangkit semula dan meneliti kembali apa kelemahan mereka,” katanya.
Menurutnya, untuk waktu terdekat ini, pemain akan diberi penekanan dan pendekatan psikologi dalam mengembalikan semula semangat pemain pada sesi latihan pasukan.
“Kita juga akan buat perubahan drastik pada posisi pemain memandangkan ada yang tidak yakin pada diri,” katanya.
Sementara itu, SSTMI Thunderbolts tidak menghadapi masalah mengekalkan rekod bersih menang semua empat perlawanan kali ini dengan menewaskan Nur Insafi 4-1.
Skuad bimbingan Wan Mohd Roslan Abdul Rahman itu sebelum ini mencatatkan kemenangan 8-1 ke atas SSTMI Juniors pada perlawanan pertama, menang 3-0 ke atas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Bentara Luar Young Guns pada perlawanan kedua serta membelasah Olak Tigers 7-2 pada perlawanan ketiga.
“Berdasarkan keputusan perlawanan ini, saya berasa kurang berpuas hati kerana saya lihat pasukan lain mampu menewaskan Nur Insafi dengan jumlah jaringan lebih besar.
“Mungkin banyak faktor mendorong kepada kemerosotan prestasi mereka. Pemain nampak bergelut di separuh masa pertama sebelum bangkit semula pada separuh masa kedua.
“Apa pun, saya tetap berpuas hati dengan keputusan ini kerana kami terus kekal meraih tiga mata penuh selepas empat perlawanan,” katanya.
Dalam pada itu, SSBJ Thunderbolts turut melakar kejutan dengan meleburkan rekod tanpa kalah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selepas menewaskan lawan mereka itu 2-1.
MBPJ hadir dengan rekod dua kemenangan bersih iaitu 2-0 ke atas Olak Tigers serta 3-1 ke atas Nur Insafi namun semalam SSBJ menafikan hasrat mereka untuk meraikan kemenangan ketiga berturut-turut.
Ketua jurulatih SSBJ, Lokman Yahaya berkata, beliau sememangnya menjangkakan anak buahnya akan menerima tentangan sengit daripada MBPJ.
“Mereka adalah pasukan pilihan dan saya hanya mahukan barisan pemain saya melakukan yang terbaik di atas padang. “Dengan kerja keras mereka, hasilnya kami memperoleh kemenangan.
“Setakat ini saya berpuas hati dengan pencapaian barisan pemain saya kerana dalam tiga perlawanan awal bertemu pasukan pilihan, kami mencatat dua kemenangan,” katanya.-sinar harian