
JOHOR BAHRU – Masyarakat India secara umumnya kini kembali menyokong MIC setelah pucuk kepimpinan tertinggi diambil alih oleh Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Naib Presiden MIC Datuk M.Saravanan berkata sokongan itu boleh dilihat melalui respons dan kehadiran masyarakat India dalam setiap program anjuran parti di seluruh negara.
“Dan mereka bukanlah hanya orang-orang politik atau ahli-ahli MIC, malahan dari segenap lapisan.
“Jadi, ini menandakan perkembangan positif dan kita akan meneruskan usaha seumpama ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Pongal anjuran MIC Johor dan Kuil Arulmigu Raja Mariamman di Jalan Ungku Puan, di sini hari ini.
Saravanan yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, “Di peringkat belia, kita menyediakan produk (pendekatan) merangkumi semua aspek termasuk ekonomi, pendidikan dan sukan bagi memastikan mereka setanding dengan kaum-kaum lain”.
Mengenai pesta itu, Saravanan berkata ia menjadi medium menyatupadukan masyarakat India, setelah kebanyakannya berpecah belah kerana perbezaan ideologi politik.
– Bernama