Quantcast
Channel: The Malaysian Times
Viewing all articles
Browse latest Browse all 16951

PRK: Pemuda Umno tumpu kekuatan jentera

$
0
0
image (57)

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno akan menumpukan kepada kekuatan jenteranya dan bukan kepada kelemahan pihak lawan bagi memenangi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor, dan Kuala Kangsar, Perak.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata sekiranya jentera kuat di peringkat awal lagi, ia akan dapat membantu parti mendapatkan kemenangan bagi mana-mana calon yang diletakkan.

“Saya hanya tumpu kepada jentera kita. Jika kita kuat saya tidak peduli apa pembangkang buat dan kalau jentera kita bekerja kuat dari sekarang apabila diumumkan calon nanti saya percaya kita boleh menang.

Ini kerana kemenangan kita berdasarkan kekuatan kita, bukan kelemahan lawan. Jadi saya tidak ambil peduli apa pembangkang buat dan siapa yang akan berkempen untuk mereka…saya tak ambil kisah kerana saya lebih berminat kepada persiapan kita,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ditanya mengenai gerak kerja Pemuda, Khairy Jamaluddin berkata beliau akan membahagiakan tugas bersama Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun, untuk menggerakkan jentera di dua bahagian terlibat pada bila-bila masa.

“Saya akan pengerusikan mesyuarat exco minggu depan dan saya akan bahagi masa dengan Naib Ketua Pemuda (Khairul) Azwan dan akan bahagi tugas antara kita di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Ditanya mengenai kemungkinan meletakkan calon Pemuda bagi kedua-dua PRK tersebut, Khairy Jamaluddin berkata: “Pucuk pimpinan masih meneliti calon paling sesuai dan kebiasaanya ia akan buat pilihan yang selamat untuk memastikan kita berpotensi untuk menang.”

Kedua-dua kerusi parlimen itu kosong setelah Ahli Parlimen Sungai Besar Datuk Noriah Kasnon, yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Jumaat lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan diadakan serentak pada 18 Jun ini dan penamaan calon pada 5 Jun. – Bernama


Viewing all articles
Browse latest Browse all 16951

Trending Articles