Quantcast
Channel: The Malaysian Times
Viewing all articles
Browse latest Browse all 16951

Dakwah santai Zul Handy Black

$
0
0
dakwah2-jpg_1476565466

Sejak berhijrah, bekas vokalis kumpulan rock Handy Black, Zul Handy Black, semakin rancak berdakwah melalui muzik.

Zul atau Nurzul Suphia’an Sa’ban yang pernah menyertai program Gegar Vaganza musim kedua tahun lalu, menggunakan pendekatan muzik menerusi pemuzik jalanan, As Salam Buskers yang sering membuat persembahan menyanyikan lagu-lagu dakwah sebelum ini.

Katanya, dia bergerak dengan kumpulan itu sejak dua tahun lalu dan sama-sama perjuangkan muzik dengan konsep ketuhanan dan Islamik.

“Lagu yang kami nyanyikan lagu ciptaan mereka dan ada juga lagu saduran artis lain. Kami bergerak seluruh Malaysia mengikut jemputan. Kalau ada masa lapang, kami buat persembahan jalanan di tempat terbuka,” katanya.

Popular dengan lagu Kau Yang Bernama Seri sekitar 1990-an, Zul juga sering memilih Tasik Titiwangsa sebagai lokasi persembahan dakwah jalanan bersama As Salam Buskers.

Katanya, pada sesi santai sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu itu, mereka akan menyampaikan beberapa lagu dakwah dan diselitkan dengan perkongsian hadis.

“Selalunya kami buat selepas solat Asar dan berlanjutan sampai waktu Maghrib. Kadangkala selepas solat Maghrib, aktiviti santai bersambung hingga tengah malam.

“Senang kata, saya tidak kisah orang panggil saya pendakwah bebas. Saya pegang tanggungjawab itu sebab dakwah adalah untuk semua manusia.

“Dulu mungkin kita banyak lakukan hal ‘lagha’ dan bila dapat kesedaran ini, saya nak kongsi dengan peminat dan kawan-kawan,” katanya.

Namun, dia menafikan ramai kawan menjauhkan diri selepas memilih jalan hidup yang ringkas sebegini.

Katanya, ramai yang memberi respons positif cuma untuk mengikut sepenuhnya gaya hidup seperti dilakukannya, belum lagi.

“Tidak dinafikan ada kawan menunjukkan minat bersoal jawab agama. Sebagai pendakwah bebas, saya bukan mahu mengajar perkara baru sebaliknya mahu segarkan kembali ilmu agama yang pernah dipelajari satu ketika dulu.

“Perkara ini kena secara perlahan-lahan dan saya ambil tanggungjawab itu. Takkan sudah jadi alim, baru nak berdakwah? Atau dah tua baru nak ke masjid? Saya sekadar ajak semua untuk ingat Allah saja,” katanya.

Seronok berbual dengannya, Zul yang turut berlakon sebelum ini seperti filem Longkai dan Santau akui tawaran berlakon jauh daripada sangkaan selepas mengambil keputusan berhijrah.

Katanya, dia pernah mendapat tawaran berlakon dengan bayaran lumayan untuk beberapa drama berepisod tetapi terpaksa menolaknya atas tuntutan skrip yang dianggap kurang sesuai.

“Apabila berhijrah macam ini, kadangkala persepsi orang berbeza tapi apabila berubah, banyak pula tawaran berlakon. Allah nak tunjuk kuasanya dan mungkin rezeki atau dugaan untuk kita.

“Tawaran yang datang memang melampau dan tak pernah saya dapat sebelum ini,” katanya yang pernah berlakon drama Halimah Jongang pada 2010.

Drama terakhirnya, Nyiur Nan Setandan dijayakan dua tahun lalu dan selepas itu bermulalah perjalanan hidupnya sebagai ahli tabligh.

Terbaru, dia bakal muncul dengan filem Superbike bersama Hamid Gurkha, Fizo Omar dan Kamal Adli. Dia juga baru selesai penggambaran program dokumentari 13 episod Lagenda Seni untuk siaran RTM.

Menariknya dalam Lagenda Seni, setiap episod Zul diberi peluang menunjukkan bakat melukis potret setiap tokoh seni.

-Harian Metro


Viewing all articles
Browse latest Browse all 16951

Trending Articles