IPOH: Kerajaan Negeri Perak melalui beberapa agensinya pada masa ini akan memberikan tumpuan dalam usaha untuk mengurangkan kadar kes denggi di kawasan Taman Cempaka yang merupakan antara dua kawasan panas bagi kes tersebut di negeri ini.
Ia susulan apabila Kampung Dato Ahmad Said (DAS) Tambahan 2 yang telah berjaya dikeluarkan daripada senarai kawasan titik panas yang telah tersenarai selama 251 hari sebagai kawasan panas berlakunya kes denggi di negara ini.
Menurut Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, masalah denggi di kawasan tersebut telah berjaya diatasi dengan usaha yang berterusan yang dilakukan oleh pelbagai pihak.
“Saya ingin umumkan di sini bahawa Kampung DAS Tambahan 2 telah berjaya dikeluarkan daripada senarai tersebut yang mana ianya bukan dibuat oleh pihak kita tetapi dibuat oleh pihak kementerian.
“Ia adalah berikutan dengan tindakan yang telah kita lakukan termasuklah usaha-usaha gotong royong serta tindakan diambil terhadap premis yang menjadi tempat pembiakan nyamuk,” tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung perkara tersebut yang turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Juita Ghazalie dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man.
Mah berkata, pihaknya akan memfokuskan untuk mengatasi masalah denggi yang berlaku di Taman Cempaka yang pada masa ini telah berada dalam senarai kawasan panas selama 231 hari dengan sejumlah 117 kes yang dilaporkan.
“Saya dimaklumkan bahawa tempat ini kerap kali menjadi masalah atas beberapa sebab diantaranya rumah yang kosong yang sentiasa tidak diduduki dan rumah terbiar yang dipenuhi oleh semak samun
“Sebanyak 310 rumah kosong yang apabila penguatkuasa datang, tiada penghuni yang terdapat dirumah berkenaan, manakala 75 buah rumah lagi adalah rumah terbiar.
Selain itu, tambahnya lagi, pihaknya turut akan mengadakan gotong royong besar-besaran yang dikenali sebagai x-aedes pada 27 Julai depan di kawasan tersebut.
Sementara itu, beliau turut berkata, trend kes demam denggi bagi minggu ke-29 menunjukkan penurunan lebih rendah dan ia merupakan kali kedua selepas penurunan yang berlaku pada minggu ke-26.
Namun begitu, jelasnya, jumlah kematian yang dicatatkan bagi kes demam denggi adalah meningkat berbanding tahun lalu.
“Jumlah kematian yang telah dicatatkan setakat ini iaitu sehingga semalam adalah sebanyak 17 kes kematian berbanding tujuh kematian yang dicatatkan untuk tempoh yang sama tahun lepas,” kata beliau lagi.
Tambahnya lagi, jumlah kumulatif kes denggi juga turut menunjukkan peningkatan berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
“Daripada segi kumulatif untuk tahun ini pula adalah sejumlah 6,267 kes berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu iaitu 3,155 kes iaitu kenaikan sejumlah 3,112 kes atau 98.6 peratus,” jelas beliau.