Quantcast
Channel: The Malaysian Times
Viewing all articles
Browse latest Browse all 16951

Aziz puas senyum

$
0
0

Baru berusia 17 tahun, penyanyi dikenali menerusi lagu Senyum, Aziz Harun tahu hala tujunya dalam industri seni muzik.

Sambutan diberikan terhadap Senyum menguatkan semangat anak muda kelahiran Brunei ini untuk kekal dengan genre sama.

Sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, dia mempunyai masa untuk mencari material baru bagi memastikan namanya tetap menjadi ingatan dalam kalangan peminat muzik di Malaysia.

Malah Aziz menggunakan cuti tiga bulan selepas selesai menduduki peperiksaan ‘Ordinary Level’ bagi menghasilkan lagu kedua.

“Single kedua ini dalam genre sama dengan Senyum dan dijangka dilancarkan selepas Aidilfitri ini. Saya yakin dengan genre ini selepas melihat maklum balas positif peminat terhadap lagu berentak santai dan mudah menangkap telinga,” katanya.

Aziz bersyukur kerana cubaan pertamanya berjaya mendapat tempat di hati pendengar sekali gus meraih peminat dari Malaysia.

“Alhamdulillah, lagu Senyum itu antara kejayaan besar dalam hidup saya. Sebelum lagu itu, memang saya pernah hasilkan lagu tetapi untuk pasaran Brunei.

“Di sana tidak banyak lagu tempatan, industri juga kecil. Mungkin sebab itu lagu saya sukar mendapat tempat di sana. Saya meletakkan harapan agar lagu baru ini juga akan diterima,” katanya.

Aziz akui bukan mudah penyanyi asing membina nama di Malaysia kerana terpaksa bersaing dengan penyanyi tempatan sedia ada.

Katanya, sebagai penyanyi yang baru mencari tapak, dia berbesar hati dan gembira setiap kali mendengar lagunya berkumandang menerusi radio.

“Membina nama di tempat sendiri saja susah, inikan pula membangunkan kerjaya di negara lain. Alhamdulillah, usaha saya tidak sia-sia.

“Memang saya tidak pernah membayangkan akan diterima dengan pantas di sini. Apabila mendengar lagu saya diputarkan di stesen radio, timbul rasa janggal kerana sehingga kini saya masih tidak percaya penyokong muzik di Malaysia menerima lagu itu dengan cepat.

“Apa pun, saya bangga dan gembira kerana lagu Senyum kini menjadi siulan. Jujur, perjalanan karier saya dulu dan sekarang sangat berbeza. Saya semakin sibuk mengembangkan kerjaya sebagai penyanyi,” katanya.

Malah Aziz bangga melihat dirinya lebih dikenali di Malaysia berbanding di tempat sendiri. Dia tidak menolak andai suatu hari nanti menetap di Malaysia bagi mengejar cita-cita sebagai penyanyi.

Katanya, ibu bapanya juga tiada halangan dengan itu tetapi memberikan syarat sebelum benar-benar diberi kebebasan terbang tinggi menggapai impiannya.

“Sudah pasti pelajaran menjadi keutamaan. Sebelum saya benar-benar aktif dalam bidang muzik, ayah meletakkan syarat agar saya terlebih dulu mempunyai ijazah.

“Sebagai anak, saya akur. Tidak dinafikan pendidikan sangat penting untuk setiap individu. Kalau semua sudah selesai, saya tidak kesah menetap di sini. Tambah pula saya lihat masa depan sebagai penyanyi di Malaysia sangat cerah,” katanya.

Mengenai sambutan Aidilfitri, katanya, tahun ini keluarganya pergi ke United Kingdom bagi menghadiri majlis konvokesyen abangnya. Ini kali pertama mereka sekeluarga menyambut hari raya di perantauan.

Katanya, tahun ini dia tidak dapat mengutip duit raya sebagaimana lazim kerana berada di luar negara selama dua minggu.

“Setiap kali Aidilfitri sudah pasti yang dinanti-nantikan duit raya tapi tahun ini saya dapat daripada ibu bapa saja. Balik ke Brunei pada minggu ketiga Aidilfitri, tidak dapatlah merasa kemeriahan hari raya.

“Ini pengalaman pertama kami beraya di negara asing. Persiapan tahun ini pun tidak seperti tahun lalu. Tidak ada baju baru. Kalau beli pun bukannya dapat pakai pada hari raya pertama tetapi untuk diri sendiri, saya beli juga baju Melayu sebagai persediaan sesi fotografi edisi Aidilfitri,” katanya.

Mengenai keistimewaan sambutan hari raya di Brunei, kata Aziz, di tempatnya sehingga minggu ketiga Aidilfitri masih lagi disambut dengan meriah walaupun ada sebahagian yang sudah mula bekerja dan sesi persekolahan bermula seperti biasa.

Dari segi makanan, mungkin tidak jauh beza dengan juadah di Malaysia tetapi yang menarik, ada sesetengah rumah menyediakan khidmat berkaraoke bagi memeriahkan suasana rumah terbuka.

“Di Brunei juga ada ketupat, lemang dan rendang. Cuma mungkin di sana ada sesetengah yang buat sesi karaoke ketika rumah terbuka.

“Keluarga saya pun buat rumah terbuka juga cuma tidaklah sampai ada karaoke. Mungkin saya lebih seronok beraya di rumah orang kerana boleh berkaraoke,” selorohnya sambil ketawa.

-Metro


Viewing all articles
Browse latest Browse all 16951

Trending Articles