BAGAN SERAI: Seorang remaja berusia 14 tahun menjadi dalang dalam siri kegiatan pecah masuk beberapa taska serta sekolah agama rakyat di sekitar Dun Alor Pongsu dan Lembah Beriah dalam tempoh seminggu.
Kumpulan yang dikenali sebagai kumpulan Hidayat, diketui seorang pelajar sekolah menyasarkan premis tadika dan sekolah untuk menjalankan kegiatan jenayah.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, sejak dua minggu lalu, pihaknya menerima banyak aduan pecah masuk taska serta sekolah di sekitar Dun Alor Pongsu dan Lembah Beriah.
Menurutnya, polis memandang serius terhadap kejadian itu dengan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk menjalankan siasatan terhadap kes itu di bawah Ops Pintu.
“Bertindak menerusi maklumat diterima, polis akhirnya memberkas ahli Kumpulan Hidayat seramai empat lelaki di Bagan Serai berusia lingkungan 13 hingga 20 tahun.
“Lebih mengejutkan, polis mengenal pasti ketua kumpulan itu adalah seorang pelajar sekolah berusia 14 tahun, di mana suspek menjadi dalang dalam menentukan sasaran jenayah,” katanya kepada media di sini semalam.
Omar Bakhtiar berkata, hasil penangkapan keempat-empat suspek berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah masuk taska dan sekolah yang dilaporkan.
Jelasnya, hasil siasatan mendapati modus operandi kumpulan suspek itu adalah mengumpil tingkap premis sebelum masuk untuk mencuri barangan berharga.
“Berdasarkan aduan mangsa, sejumlah wang tunai, kamera digital, tabung duit dan pelbagai barangan berharga lain dilarikan kumpulan itu.
“Kesemua suspek dicekup dikenal pasti tidak mempunyai rekod jenayah lampau, malah ada yang tidak mempunyai sebarang rekod salah laku di sekolah,” katanya.
Omar Bakhtiar berkata, meskipun kumpulan jenayah itu berjaya ditumpaskan, polis bimbang dengan penglibatan pelajar sekolah dalam pelbagai aktiviti jenayah semakin meningkat di daerah Kerian.
Katanya, sebagai penyambung generasi masa hadapan negara, golongan berkenaan tidak sepatutnya terlibat dengan kegiatan jenayah.
“Saya berharap orang ramai termasuk golongan ibu bapa agar lebih prihatin dalam memantau segala pergerakan dan aktiviti anak-anak mereka di luar rumah,” katanya.
-Sinar Harian